Menurut
Kamus Dewan (Edisi ke-4), ‘kepelbagaian’ membawa maksud perihal pelbagai jenis.
‘Budaya’ pula ditakrifkan sebagai keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu
pengetahuan, kepercayaan, kesenian moral, undang-undang, adat dan sebarang
bentuk keupayaan yang diperolehi oleh seseorang sebagai ahli masyarakat (Tylor,
1871). Selain itu, budaya juga merupakan satu sistem kepercayaan dan tingkah
laku yang mengiktiraf serta menghormati kewujudan kepelbagaian dalam kelompok sesebuah
organisasi; mengakui dan menghargai perbezaan sosiobudaya serta menggalakkan
dan menerima sumbangan berterusan mereka dalam konteks dan budaya yang inklusif
dalam organisasi atau masyarakat berkenaan.
Pengurusan pelbagai budaya
merupakan kaedah penyusunan dan perancangan sesebuah kelas yang terdiri
daripada pelajar pelbagai budaya. Pengurusan pelbagai budaya adalah penting
dalam menguruskan sekolah kerana pengurusan pelbagai budaya mampu memberi
implikasi kepada semua warga di dalam sekolah, termasuklah para pendidik dan
anak-anak didik. Di dalam sesebuah sekolah akan wujudnya pelbagai budaya
dipraktikan oleh pelajar yang mampu mempengaruhi suasana pembelajaran mereka.
Budaya merupakan sesuatu elemen yang dikongsi oleh sekumpulan masyarakat.
Sesuatu budaya itu dipelajari melalui proses pembelajaran. Bukan itu sahaja,
sekolah juga merupakan sebuah tempat khas untuk memberikan pendidikan iaitu
ilmu pengetahuan.kepada pelajar.
Sementelahan itu, pendidikan
pelbagai budaya merupakan idea di mana pandangan bahawa semua pelajar mempunyai
hak yang sama untuk belajar di dalam kelas tanpa membezakan jantina, kelas
sosial, etnik atau kriteria lain. Perbezaan individu dan proses pembelajaran
adalah dilihat dari segi hakikat kejadian, iaitu manusia memang berbeza antara
satu sama lain. Namun begitu, masih terdapat sebilangan guru yang mengajar
pelajar seolah-olah semuanya sama tahap seperti kebolehan, kesediaan, motivasi dan
jangkaan yang sama. Hakikatnya, semua pelajar adalah sama sekali berbeza dari
segi minat, gaya pembelajaran dan jangka masa yang diperlukan untuk belajar.
Oleh itu, guru memainkan peranan yang amat penting dalam menerap nilai murni ke
dalam diri pelajar supaya dapat melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu di
dalam kelas mahupun di luar kelas.
No comments:
Post a Comment