Secara kesimpulannya, proses pendidikan adalah
satu proses evolusi yang mengalami perubahan secara berterusan. Proses ini
merupakan satu pengalaman yang mencabar dan membawa tekanan kepada para guru
dan juga pegawai pendidikan di bawah kementerian. Antara elemen dalam
pendidikan yang tidak boleh diabaikan ialah pengurusan pelbagai budaya, perkara
ini amatlah penting kepada masyarakat untuk memahami dan mempelajari nilai
perbezaan yang terdapat dalam masyarakat majmuk.
Guru merupakan aset penting
dalam pembentukan pelajar yang mengamalkan pelbagai budaya. Seseorang guru itu
haruslah berusaha dalam menangani masalah pelajar-pelajarnya yang datang dari
pelbagai sudut dan aspek. Perancangan awal yang teliti haruslah dilakukan untuk
menguruskan sesi pembelajaran pelajar yang berlainan budaya. Guru perlu
memahami dan menolong pelajar yang bermasalah dari segi budaya serta tahap
penerimaan ilmu dengan cara mengetahui latar belakang dan personaliti mereka.
Hal ini demikian kerana guru memainkan peranan yang penting dalam pembentukkan
sebuah masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, guru patut memberikan
pendedahan yang baik kepada pelajar tentang kepentingan mempelajari dan
memahami budaya masyarakat pelbagai kaum di sekolah.
Pendidikan pelbagai budaya
ini haruslah dipratiskan ketika proses pembelajaran di dalam kelas ataupun di
luar kelas agar dapat melahirkan pelajar insan yang tidak sahaja berilmu
pengetahuan yang luas, tetapi juga berkualiti dari segi akhlak dan nilai moral.
Dengan adanya pengurusan pelbagai budaya, maka kita dapat melahirkan sebuah
masyarakat yang harmoni dengan melalui kefahaman yang sama terhadap kepentingan
kepelbagaian budaya lapisan masyarakat.


















